Telok Mas bakal jadi ikon pelancongan ikan bakar

Masa Membaca:3 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 6 Oktober – Sebagai sebuah kawasan yang terletak di kawasan pinggir bandar, Telok Mas sebenarnya memiliki pelbagai tarikan dan potensi kemajuan untuk negeri.

Antaranya dari sudut pelancongan yang mana kawasan itu sejak berdekad-dekad lamanya terkenal sebagai lokasi pilihan pelancong untuk menikmati hidangan ikan bakar.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung setiap kali hujung minggu dan cuti umum ialah Umbai dan Alai yang terletak di kawasan pesisir pantai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, menyedari potensi ikan bakar yang sinonim dengan Telok Mas, pihaknya merangka strategi baharu bagi memastikan kawasan itu kekal relevan sebagai destinasi pelancongan makanan pilihan.

Antara perancangan yang telah dirangka ialah membangunkan sebuah kompleks ikan bakar baharu yang terletak di Crystal Bay, Alai.

KOMPLEKS IKAN BAKAR RM5 JUTA

Menurut Abdul Razak, kompleks ikan bakar baharu itu dijangka menelan belanja lebih RM5 juta oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang mana kerja pembinaannya dijangka bermula pada hujung tahun ini.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan kompleks berkenaan dijangka mengambil masa satu setengah tahun sebelum beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2024.

“Kompleks itu akan menempatkan 10 gerai ikan bakar dan kita akan menempatkan peniaga-peniaga asal di situ.

“Dengan adanya kompleks ikan bakar baharu ini, ia akan memberi lebih keselesaan kepada pengunjung dan reka bentuknya juga sangat menarik.

“Alhamdulillah dalam tempoh 10 bulan mentadbir kawasan ini, kita berjaya membawa satu projek besar baharu seperti ini untuk Telok Mas. Terima kasih diucapkan kepada MBMB,” katanya.

2
ABDUL Razak sentiasa cakna dengan masalah rakyat di Telok Mas.

NAIK TARAF INFRASTRUKTUR

Selain memberi tumpuan kepada projek pembangunan, aspek kepentingan rakyat juga tidak dipinggirkan Abdul Razak.

Menurutnya, sejak diberi mandat mentadbir kawasan itu, beberapa projek menaik taraf infrastruktur telah dilaksanakan.

Katanya, antara infrastruktur yang diberi tumpuan khusus ialah membabitkan jalan raya dan menaik taraf longkang.

“Tanggungjawab saya sebagai Adun akan memastikan aspek infrastruktur itu diberi fokus untuk keselesaan rakyat.

“Jika sebelum ini ada banyak jalan yang tidak diturap dan longkang yang tidak dinaik taraf, itulah yang akan saya selesaikan terlebih dahulu kerana ia merupakan antara salah satu aku janji saya kepada rakyat,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mengambil inisiatif membaik pulih balai raya di Telok Mas dalam usaha mengalakkan lebih banyak program berbentuk kemasyarakatan diadakan.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak lima balai raya telah dibaik pulih bagi memberi keselesaan kepada masyarakat.

“Jika dahulu tiada pendingin hawa, kita tambah pendingin hawa di balai raya yang ada dan pada masa sama kita juga memastikan kemudahan seperti tandas dan sebagainya berada dalam keadaan baik,” katanya.

3
MENYANTUNI masyarakat pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Telok Mas.

BERAS PERCUMA UNTUK MAJLIS KAHWIN

Sejak menjadi wakil rakyat Telok Mas, Abdul Razak telah memulakan inisiatif pemberian 100 kilogram (kg) beras percuma kepada bakal pengantin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

Katanya, sejak inisiatif itu dimulakan pada Disember tahun lalu, setakat ini sebanyak 40,000 kilogram beras telah diagihkan kepada 400 keluarga pengantin.

“Sejak awal sehingga sekarang sudah 40,000kg beras kita berikan percumanya maknanya 400 buah rumah yang membuat majlis kahwin telah menerima manfaat ini dan untuk majlis akan datang ini juga kita akan agihkan beras-beras ini.

“Pemberian beras percuma ini bukan retorik untuk pilihan raya tapi ia memang inisiatif yang akan saya teruskan selagi saya menjadi wakil rakyat kerana inilah janji saya,” katanya.

4
ABDUL Razak

BIODATA

Nama: Datuk Abdul Razak Abdul Rahman
Umur: 49

Karier:-
– Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani (2021 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas (2021 – kini)
– Pengerusi Taman Teknologi Malaysia

Pendidikan:-
– Sarjana Pengurusan Perniagaan

Politik:-
– Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka (2018 – kini)
– Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka (2018 – kini)
– Bendahari Pemuda UMNO Malaysia (2013 – 2018)

 

INFO DUN TELOK MAS

Jumlah penduduk : 40,309

Kampung : 19
Taman Perumahan : 28

Rumah Ibadat:-
Masjid: 7
Surau: 30
Tokong: 5
Kuil: 1

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 7
Sekolah Menengah: 4

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3768
Kongsi :
Previous post Armada TLDM ukur kemampuan pertahanan samudera raya di Laut China Selatan
Next post Maulidur Rasul: 1.9 juta kenderaan dijangka lalu lebuh raya PLUS
Ubah saiz-+=