
TELUR ASIN BUKIT SEDANAN BERSIH, BERKUALITI
ASAHAN 15 April – Telur asin lazimnya sinonim dengan kaedah pembuatan tradisional menggunakan abu gosok daripada arang dan sekam padi.
Namun, berbeza dengan pendekatan yang diambil seorang penternak itik, Mohd Shafie Md Isa, 44, yang mengguna kaedah berbeza bagi memastikan proses penghasilan produk telur asinnya lebih bersih dan sistematik.
Pengusaha telur asin dari Kampung Baru Bukit Sedanan itu berkata, proses penghasilan produknya itu amat menitikberatkan aspek kebersihan bermula daripada kutipan telur sehingga proses pembungkusan untuk dipasarkan.
“Berbeza dengan kaedah tradisional, telur ini dicuci terlebih dahulu sehingga bersih sebelum dikeringkan dan diperam menggunakan air garam yang dimasak mengikut tempoh tertentu bergantung kepada permintaan.
“Disebabkan telur yang bersih dan berkualiti, permintaan terhadap produk kami amat tinggi terutamanya dalam kalangan pengusaha restoran, peniaga di pasar tani serta beberapa pasar raya Muslim di sekitar Melaka.
“Telur asin kami juga dikatakan memudahkan proses penyediaan kerana tidak dibalut atau disaluti menggunakan abu gosok,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di ladang itik miliknya di Kampung Baru Bukit Sedanan, di sini.

Mohd Shafie yang merupakan penerima Anugerah Peladang Jaya Harapan 2023 berkata, ternakan itiknya terus berkembang sejak bermula pada lapan tahun lalu, di mana daripada hanya 50 ekor itik, kini jumlah itu sudah mencecah kepada 3,000 ekor berikutan permintaan yang semakin meningkat, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
“Saya bermula ternakan dari tahun 2018 sebagai hobi. Perniagaan ini semakin berkembang hasil bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
“Dalam sehari, ladang kami mampu menghasilkan lebih 2,000 biji telur itik. Namun, bagi memenuhi permintaan pasaran yang mencecah sekitar 5,000 biji sehari, saya turut mendapatkan bekalan daripada penternak lain sebelum diproses menjadi telur asin,” katanya lagi.
Selain telur asin, syarikat Shaeza Global Enterprise diusahakan Mohd Shafie turut memperkenalkan produk lain seperti kuning telur asin dan serbuk perisa telur asin.
Produk telur asin keluaran syarikat itu juga dipasarkan di beberapa pasar raya terkenal seperti Rosyam Mart, selain diedarkan ke sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


