Temui ajal selepas dua hari bertarung nyawa

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

ALOR GAJAH 19 Julai – Penunggang motosikal lelaki yang parah selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di simpang Jalan Kolam, Machap di sini Ahad lalu meninggal dunia hari ini.

Mangsa Muhamad Alif Munif Hishaam, 22, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Melaka pada jam 1 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Arshad Abu berkata dalam kejadian pada jam 5.30 petang Ahad lalu, mangsa dalam perjalanan dari arah Machap menghala ke Alor Gajah manakala pemandu SUV dipandu lelaki warga emas 78 tahun dari arah Jalan Kolam menghala ke Machap.

“Siasatan mendapati ketika pemandu warga emas tersebut keluar dari simpang tiga dari Jalan Kolam menghala ke Machap, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri bergerak lurus itu dipercayai melanggar bahagian tepi kanan SUV terbabit.

“Mangsa yang ketika itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan namun mangsa disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas kemalangan itu, kedua-dua kenderaan yang terlibat dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan kenderaan

Katanya, pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1895
Kongsi :
Previous post Kerajaan akan laksanakan subsidi bersasar secara berfasa – Tengku Zafrul
Next post Festival Masakan Warisan Melaka tampil 30 hidangan tradisi
Ubah saiz-+=