Tentera gagalkan taktik PATI masuk Malaysia secara haram

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

MELAKA 24 Mac – Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD) berjaya menggagalkan cubaan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negara secara haram di perairan Tanjung Ayam Johor Bahru, awal pagi semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua PATI itu tumpas menerusi Op MERPATI I yang dijalankan bermula 19 Mac lalu.

Kata kenyataan itu, kesemua PATI berusia 12 hingga 43 tahun yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“2 KAD yang dipertanggungjawabkan melaksanakan Op MERPATI I telah berjaya menghidu kehadiran PATI melalui Radar Gempita 8 X 8.

“Hasil pegesanan dan penahanan dari Trup Pengawasan 2 KAD itu telah menahan 10 PATI terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia berumur di antara 12 tahun sehingga 43 tahun.

“Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Bayu Damai dan seterusnya menjalani saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Johor Bahru,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan sama, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM16,594.20 melibatkan wang tunai dan 14 buah telefon bimbit pelbagai jenama.

“Ketumbukan 3 Divisyen akan terus komited memperkasakan kawalan keselamatan di sempadan negara melalui pemantauan serta penguatkuasaan berterusan bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dikekang demi kedaulatan negara,” kata kenyataan itu lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3204
Kongsi :
Previous post Bazar Ramadan Melaka tetap meriah dalam hujan
Next post Rindu kenangan beraya dengan arwah ayah
Ubah saiz-+=