Terbuka hati peluk Islam di bulan Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KESIDANG 27 Mac – Tanggal 5 Ramadan 1444 Hijriah menjadi saksi pengislaman seorang wanita Orang Asli dari Kampung Bukit Payung.

Zanariah Chaching, 31, nekad mahu mendalami agama Islam selepas tersentuh dengan program-program keagamaan yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Anak ke-12 daripada 15 beradik itu berkata, dia bersyukur diberikan hidayah oleh Allah S.W.T untuk memeluk Islam tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Katanya, walaupun pada awal niatnya itu mendapat tentangan daripada orang tua, namun selepas menerangkan mengenai keindahan Islam, keluarganya akur dan memahami pilihannya itu.

“Saya pilih atas diri sendiri tiada sesiapa yang paksa, disebabkan selalu lihat program-program agama diadakan pihak JAIM dan MAIM, saya tertarik dan terbuka hati untuk memeluk agama ini.

“Ibu saya tiada masalah, cuma ayah pada mulanya tidak bersetuju tetapi setelah dipujuk dan cakap baik-baik akhirnya dia setuju dengan keputusan saya.

“Malah adik beradik juga tiada masalah dengan keputusan saya ini, mereka cakap terpulang kepada hati masing-masing untuk membuat pilihan yang lebih baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu majlis pengislaman Zanariah dilafazkan di hadapan Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawel dan disaksikan Penggerak Orang Asli Daerah Alor Gajah, Norhafiza Abd Rahman.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis dan Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM, Nasir Wahab.

Katanya, tahun ini menjadi lebih bererti kerana menjadi saudara baharu di bulan Ramadan.

“Sekarang saya sedang belajar perlahan-lahan tentang agama Islam, insya-Allah saya juga akan cuba berpuasa pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1699
Kongsi :
Previous post 59 saudara baharu peluk Islam di Melaka tahun ini
Next post Nahas LRT Mei 2021: Lapan individu saman Rapid Rail, Prasarana
Ubah saiz-+=