Tetap berkhidmat walau tidak tercalon – Bekas ADUN Sungai Rambai

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

MELAKA 7 Nov – “Saya baik sahaja dan akan tetap berikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pengganti saya di Sungai Rambai,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Wira Hasan Rahman.

Menurut beliau, komitmen bekerja untuk parti dan mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tetap menjadi matlamat utama biarpun tidak lagi bergelar calon.

“Saya ketepikan dulu rasa kurang enak yang ada sekarang dan mahu menumpukan kepada kerja memenangkan calon BN yang akan bertanding nanti, itu lebih penting.

“Buat para penyokong, saya harap mereka semua dapat bertenang dan dapat bersama saya berjuang atas nama parti,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Hasan, 59, tidak tersenarai untuk bertanding pada PRN 20 November ini pada pengumuman calon BN yang dibuat Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam.

Tempat Hasan digantikan oleh anak bekas ADUN, Siti Faizah Abdul Azis.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Selain itu, menurut Hasan, tidak bertanding pada PRN kali ini tidak bermakna khidmat beliau kepada parti dan masyarakat Sungai Rambai sudah berakhir.

“Walau tidak bertanding, saya akan tetap terus bekerja untuk rakyat dan parti, banyak cara saya boleh buat untuk masyarakat.

“Selagi masih ada kudrat saya akan tetap terus berpolitik selagi masih diperlukan oleh rakyat,” katanya.

Ditanya tentang bantahan dari pihak akar umbi di Bahagian Jasin tentang pengumuman calon baharu yang akan bertanding di bahagian itu, kata beliau, pihaknya dalam usaha menjelaskan kepada pihak terbabit mengenai rasa tidak puas hati berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1128
Kongsi :
Previous post PRN Melaka jadi kayu ukur hala tuju PAS-PN dalam PRU15 – Tuan Ibrahim
Next post Kanak-kanak lelaki mati lemas dalam kolam renang buatan sendiri
Ubah saiz-+=