Sorting by

×

Tiga pantai peranginan kembali meriah

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

TANJUNG BIDARA, 12 Sept – Pantai peranginan Padang Kemunting, Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru kembali ceria dengan kehadiran pengunjung selepas lebih tiga bulan sepi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Tinjauan di ketiga-tiga pantai berkenaan petang semalam dan pagi ini mendapati pantai yang sebelum ini sunyi sepi, kini meriah dengan suara pengunjung yang mandi-manda dan berkelah bersama keluarga masing-masing.

Pengunjung, Rosman Ibrahim, 45, dari Krubong berkata, dia dan tiga anggota keluarganya mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk beriadah selepas sekian lama ‘terperap’ di rumah.

“Alhamdulillah, saya, isteri dan anak perempuan berusia 20 tahun sudah lengkap dua dos vaksin dan boleh beriadah di sini tanpa perlu bimbang dikompaun,” katanya ketika ditemui di pantai Padang Kemunting hari ini.

Sarimah Mohd Ali, 32, berkata dia dan suami beriadah di pantai Pengkalan Balak tanpa membawa dua anak berusia 5 dan 8 tahun bagi mengelak mereka dijangkiti COVID-19.

“Kami sudah lengkap dua dos dan tidak mahu anak kami menanggung risiko dan biarlah mereka berada di rumah bersama pembantu rumah,” katanya yang datang dari Cheng.

ZULKIFLI dan isteri, Zuraidah Sharif, 50, meneliti mesin sanitasi asap bagi membasmi kuman dalam bilik di inap desanya di pantai peranginan Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Sementara itu, pengusaha inap desa di pantai Pengkalan Balak, Zulkifli Abdul Hadi, 63, berkata dia sudah mula menerima tetamu sejak minggu lalu tetapi tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan dikenakan kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Selain mempraktikkan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan ketat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19, dia sanggup mengeluarkan kos agak besar mendapatkan mesin sanitasi asap yang berfungsi membunuh kuman dalam bilik inap desanya.

“Saya mengambil nama dan suhu badan setiap tetamu, selain menyediakan cecair pembasmi kuman untuk mereka bagi memastikan hanya tetamu sihat dan tidak ada sindrom wabak berkenaan yang memasuki premis itu.

“Saya membelanjakan lebih RM500 untuk mendapatkan mesin sanitasi asap dan setiap kali selepas tetamu mendaftar keluar, saya pasang mesin itu untuk mengasapkan seluruh bilik selama lima minit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1699
Kongsi :
Previous post Pengunjung ke Langkawi dinasihat patuh SOP – KP Kesihatan
Next post Pemain gitar Samudera meninggal dunia
Ubah saiz-+=