Tindakan bersama mesyuarat rumah mampu milik bentuk hala tuju perumahan Melaka – Sulaiman
SERI NEGERI 10 Feb – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yakin keputusan yang dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) 2022 mampu memberikan sinergi keputusan terbaik dalam membentuk hala tuju perumahan negara termasuk negeri ini.
Sulaiman dalam catatan Facebooknya berkata beliau menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara maya di Bilik Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di sini pagi ini.
Katanya, mesyuarat itu turut disertai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri serta pegawai kepimpinan tertinggi kementerian di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Saya optimis, setiap pandangan, pembentangan serta hasil perbincangan yang diputuskan dalam mesyuarat hari ini dapat memberikan sinergi keputusan terbaik khususnya bagi hala tuju perumahan mampu milik negara termasuklah di Negeri Melaka,” katanya.
Turut hadir menyertai mesyuarat itu, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.