
TINGKAT KESEJAHTERAAN RAKYAT, FASILITI AWAM DINAIK TARAF
SUNGAI UDANG 31 Mei – Beberapa inisiatif infrastruktur dan kemudahan awam sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Antaranya termasuk projek pembinaan dan menaik taraf sistem retikulasi air di Kem Terendak bernilai RM44.8 juta yang dijadual bermula Mei 2026 dan siap dalam tempoh dua tahun.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkata turut dilaksanakan adalah empat projek menurap jalan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kos RM1.24 juta yang mana satu projek telah siap, tiga lagi sedang berjalan.
“Selain itu, kerja naik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur awam termasuk jalan kampung juga sedang dilakukan dengan nilai RM400,000.
“Manakala gelanggang futsal Japerun Sungai Udang turut dibaik pulih dengan kos RM50,000. Kerajaan Negeri komited memastikan penduduk menerima kemudahan yang lebih baik dan selesa secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Sungai Udang di Japerun Sungai Udang di sini, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Usaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.