Tragedi bercuti, kereta terbakar di parkir resort

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

ALOR GAJAH 22 Dis – Empat keluarga yang sedang bercuti di sebuah resort di sini, berdepan detik cemas apabila kereta yang diletakan di parkir resort terbakar malam tadi.

Menurut salah seorang ahli keluarga terbabit, Hazaimah Mohd Amin, 46, berkata, kejadian disedari selepas mereka sekeluarga selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah kira-kira pukul 9 malam.

“Kami dikejutkan dengan bunyi alarm kereta yang agak kuat dari sebuah kereta yang terletak bersebelahan rumah banglo di resort ini.

“Apabila buka bonet kereta, api sudah marak dan kami dengan cepat mengalihkan dua kereta yang terletak bersebelahan bagi mengelak api merebak, ” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Katanya, mereka cuba memadam api kebakaran tersebut dari kolam air renang berdekatan namun gagal.

Ujarnya, setelah melihat api kebakaran semakin marak, mereka kemudiannya menghubungi talian kecemasan pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

“Mujurlah sewaktu kebakaran kami sekeluarga tiada dalam kenderaan itu dan syukur kami semua selamat, tiada siapa yang ditimpa kemalangan,” katanya.

Katanya, kereta tersebut telah digunakan lebih tujuh tahun dan tidak dibuat sebarang pengubahsuaian enjin atau pendawaian ke atasnya.

Menurut Huzaimah, dia bersama dua keluarga tiba di Melaka kira-kira pukul 3 petang dari Kempas, Johor untuk bercuti.

“Turut serta dua keluarga kami dari Kelantan dan Kuala Lumpur. Kami berkumpul empat keluarga untuk menganjurkan majlis hari keluarga sempena cuti persekolahan ini,” katanya.

Katanya, majlis itu akan diteruskan dan akan berada di Melaka untuk beberapa hari bagi menyelesaikan urusan laporan polis dan tuntutan insuran berhubung kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima aduan kejadian itu kira-kira pukul 9.03 minit.

Menurutnya, tujuh anggota dari balai bomba Masjid Tanah dikejarkan ke tempat kejadian yang terletak sejauh 25 kilometer.

“Kejadian berlaku di sebuah banglo atau villa dalam sebuah resort.

“Kita dapati sebuah kereta telah 95 peratus terbakar pada bahagian enjinnya, operasi memadam kebakaran selesai kira-kira 45 minit kemudian,” katanya.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

892
Kongsi :
Previous post Banjir: KKM buka pusat operasi medan di Taman Sri Muda
Next post Banjir: Sedikit peningkatan mangsa di PPS beberapa negeri pagi ini
Ubah saiz-+=