Sorting by

×

TRAGEDI MANDI LAUT: KANAK-KANAK LELAKI DITEMUKAN LEMAS DI PANTAI PUTERI

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PANTAI KUNDOR 24 September – Kegembiraan tiga kanak-kanak mandi-manda di Pantai Puteri, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Mayat mangsa, Muhammad Wafiy Adrian Zafran Mohd Ridzuan, 12 ditemukan pada jam 9.40 malam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan lebih tiga jam oleh pasukan bomba bersama pelbagai agensi.

Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.33 petang daripada orang awam memaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Melaka Tengah bergegas ke lokasi kejadian.

“Laporan awal mendapati tiga mangsa berusia 12 tahun terlibat dengan dua daripada mereka berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum kedua-duanya dihantar ke hospital, manakala seorang lagi disyaki lemas.

“Mangsa yang hilang berjaya ditemui kira-kira 1.5 meter dari pesisir pantai dan 150 meter dari lokasi terakhirnya hilang, dalam keadaan kepalanya terapung pada jam 9.40 malam.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Img 20250924 wa0032
MAYAT mangsa dibawa ke Hospital Melaka.

Menurut beliau, operasi itu membabitkan seramai 44 anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta bantuan nelayan tempatan.

“Pencarian pada awalnya dijalankan secara permukaan menggunakan bot nelayan. Pada jam 8 malam, pasukan PPDA melakukan dua kali selaman di dasar dengan radius 15 meter dari lokasi kejadian, namun hasilnya masih negatif.

“Kira-kira jam 9 malam, semua agensi sepakat menggunakan kaedah taktikal pukat tunda dengan bantuan nelayan, menutup kawasan pencarian dari lokasi mangsa dipercayai hilang sehingga ke tepi pantai,” jelasnya.

Mengulas mengenai cabaran operasi, Mohd Shahrom, berkata faktor pencahayaan pada waktu malam, arus laut yang deras serta radius pencarian yang agak luas menyukarkan kerja penyelamatan.

“Bagaimanapun, dengan kerjasama padu pelbagai agensi serta komuniti nelayan, operasi berjaya ditamatkan dengan penemuan mangsa,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

771
Kongsi :
Previous post KARNIVAL RAKYAT DAN KERJAYA DUN TABOH NANING MERIAH