Sorting by

×

TRAGEDI MANDI LAUT: KESELAMATAN DI PANTAI PUTERI DIPERTINGKATKAN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PANTAI KUNDOR 25 September – Kejadian lemas melibatkan tiga kanak-kanak berusia 12 tahun dengan seorang daripadanya meninggal dunia di Pantai Puteri, semalam, mendapat perhatian Kerajaan Negeri Melaka.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin mewakili Kerajaan Negeri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan kekuatan buat mereka yang terkesan akibat tragedi itu.

Susulan kejadian itu, kata beliau, aspek keselamatan di pantai peranginan itu akan dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kita berdukacita dengan insiden lemas membabitkan tiga kanak-kanak ini yang berlaku pada jam 6.30 petang semalam.

“Pada masa sama, saya berterima kasih dengan semua agensi serta orang ramai dan nelayan tempatan yang terlibat dalam membantu mencari mangsa yang hilang hingga ditemui.

“Insya-Allah kita akan meningkatkan aspek keselamatan di Pantai Puteri bagi mengelakkan insiden sama berulang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, malam tadi.

Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Dalam kejadian petang semalam, jasad Muhammad Wafiy Adrian Zafran Mohd Ridzuan, ditemui pada jam 9.40 malam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) lebih tiga jam dijalankan pasukan bomba bersama pelbagai agensi.

Muhammad Wafiq Adrian Zafran bersama dua rakannya mandi di pantai berkenaan sebelum dia hilang dibawa arus laut.

Mangsa ditemukan kira-kira 150 meter dari lokasi terakhir hilang dan hanya 1.5 meter dari pesisir pantai sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

663
Kongsi :
Previous post TRAGEDI MANDI LAUT: KANAK-KANAK LELAKI DITEMUKAN LEMAS DI PANTAI PUTERI
Next post ‘DULU ASNAF, SEKARANG USAHAWAN KUIH SEJUK BEKU BERJAYA’