Sorting by

×

TUJUH TAHUN BERJUANG, ZARINA JADI SUMBER INSPIRASI PESAKIT KANSER PAYUDARA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

DURIAN TUNGGAL 29 Oktober – Sebalik senyuman dan riak wajah yang ceria wanita ini menyembunyikan perjuangannya melawan kanser payudara sejak tujuh tahun lalu.

Zarina Abdullah, 52, berkata selain mengambil ubat disyorkan oleh doktor dan mengikuti sesi rawatan, fikiran yang positif amat penting dalam perjuangan seseorang pasakit melawan kanser payudara.

Ibu kepada dua cahaya mata dan nenek tujuh cucu ini berkata, selepas disahkan menghidap masalah kesihatan itu dia tidak berdiam diri sebaliknya merujuk kepada pesakit lain, pakar perubatan dan pihak berkenaan untuk tahu dengan lebih lanjut apa perlu dilakukan sebagai penghidap kanser payudara.

“Cari kumpulan sokongan untuk bina semangat dan bangkit semula, itu yang saya lakukan kerana tidak mahu tenggelam dalam kesedihan. Insya-Allah kita akan merasai aura positif yang amat membantu dalam meneruskan kehidupan.

“Sekarang ini saya aktif bersama kumpulan ‘Power Of Love’ bagi membantu wanita lain yang senasib selepas disahkan menghidap kanser payudara bangkit. Kami tampil untuk memberi sokongan moral, berkongsi pengalaman dan semangat supaya pesakit khususnya yang baru disahkan menghidap kanser payudara tahu bahawa mereka tidak bersendirian.,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Melaka 2025 bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Kompleks Japerun Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Katanya, komuniti ‘Power Of Love’ melibatkan 80 wanita bukan sahaja bertindak sebagai kumpulan sokongan daripada aspek moral sebaliknya turut membantu ahli menjana pendapatan.

Menurutnya, akibat kurang maklumat bantuan disediakan jabatan atau agensi berkenaan tidak sampai kepada pesakit, berikutan itu ramai dalam kalangan mereka menawarkan pelbagai produk dihasilkan sendiri bagi menampung kos rawatan atau membeli ubat-ubatan.

“Bermacam-macam produk kami bantu pasarkan contoh sambal hitam belimbing, bahulu, pakaian dan aksesori wanita. Inilah cara kami bertahan dan terus positif. Bagi saya pengalaman melawan kanser menjadikan diri saya lebih menghargai kehidupan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post GALAK WANITA LAKUKAN SENDIRI PEMERIKSAAN SETIAP BULAN
Next post JPJ MELAKA GANTUNG LESEN LAPAN SYARIKAT PENGENDALI BAS, LORI