Tumpu buka lebih banyak peluang pekerjaan di Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

JASIN 4 November – Membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan keupayaan infrastruktur dan majukan keseluruhan kawasan darat serta pantai antara fokus utama kemajuan serta pembangunan di Parlimen Jasin.

Bakal calon Barisan Nasional Datuk Roslan Ahmad berkata, sekiranya diberi mandat dan kepercayaan oleh penduduk Jasin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan itu, beliau tidak akan mengenepikan keperluan masyarakat berbilang bangsa daripada segenap lapisan umur.

“Antara yang dilihat berpotensi untuk dikembangkan adalah di Kawasan Perindustrian Lipat Kajang yang mana kawasan ini boleh dikembangkan sebagai kawasan industri berat dan industri ringan atau lebih berteknologi tinggi pada masa akan datang.

“Hal ini akan membuka peluang pekerjaan lebih luas kepada anak-anak tempatan yang mempunyai kelulusan.

“Saya juga berhasrat untuk menaik taraf kapasiti jalur lebar di kawasan Jasin kerana sekarang ini liputannya memang menyeluruh tapi keupayaan berbeza mengikut kawasan dan akan dipertingkatkan semaksimum yang boleh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, selain pembangunan, beliau juga akan memberi tumpuan kepada aspek kebajikan penduduk termasuk kepentingan masyarakat Orang Asli di bawah Parlimen Jasin.

“Masyarakat Orang Asli yang dalam kawasan parlimen ini saya tidak akan ketepikan mereka ini dan sekiranya diberi mandat, kita akan laksanakan kehendak mereka mengikut keperluan,” katanya.

Tambahnya, golongan belia juga tidak akan sesekali disisihkan terutama membabitkan aspek pembangunan fasiliti sukan dan riadah.

Katanya, sebagai mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, beliau lebih mengetahui kehendak dan kemahuan rakyat tempatan.

“Jika dipilih, saya akan membuka dua pejabat Parlimen Jasin di mana satu di sebelah pantai (Merlimau) dan satu lagi di darat (Jasin Bistari).

“Ini bagi memastikan setiap warga Jasin atau setiap ceruk meliputi semua golongan dapat menggunakan khidmat saya sebagai wakil rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2128
Kongsi :
Previous post Penamaan calon PRU15: Polis gerakkan 31,183 petugas, unit dron seluruh negara
Next post Sungai Melaka berada di paras amaran
Ubah saiz-+=