
TVET PILIHAN UTAMA BINA MASA HADAPAN
AYER KEROH 23 April – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi satu keutamaan susuai dengan landskap ekonomi yang berubah dan tidak lagi diukur berdasarkan kelayakan akademik seseorang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, pasaran pekerjaan sekarang menuntut kepada kemahiran, kecekapan dan penguasaan teknologi, susulan itu Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkasa ekosistem TVET di negeri ini.
Katanya, institusi latihan juga amat digalakkan untuk meneroka bidang berimpak tinggi seperti automasi, aeroangkasa, digitalisasi dan teknologi hijau.
Sehubungan itu beliau menyambut baik usaha dan komitmen International Aero Training Academy (IATAC) yang terus memperkukuh kedudukan sebagai pemain utama industri melalui beberapa inisiatif strategik.
“Antara inisiatif dilaksanakan adalah memperkenalkan program joyride penerbangan yang akan mula beroperasi pada Jun 2026, memperluaskan kerjasama antarabangsa dengan institusi seperti Hong Kong Polytechnic University (PolyU) menjelang 2027, bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa.
“Ini membuktikan bahawa IATAC bukan sahaja berkembang, tetapi sentiasa mencari ruang baharu untuk kekal relevan dan berdaya saing,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 IATAC & Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di IATAC Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud.
Yang turut hadir Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noor Sham Md Jani dan Ketua Pegawai Eksekutif IATAC Kapten Kenneth Yap.
Menurutnya lagi, kejayaan dicapai oleh IATAC amat selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang meletakkan TVET sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri.
KETUA Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika menerima cenderahati disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif IATAC Kapten Kenneth Yap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-20 IATAC dan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di International Aero Training Academy (IATAC). Foto Afiq Mustaffa
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


