TYT sepatutnya ikut proses – Majlis Presiden PH

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR 6 Okt – Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka sebelum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Majlis Presiden PH menerusi satu kenyataan rasmi sebentar tadi menyifatkan, keputusan membubarkan DUN itu berdasarkan nasihat yang salah dari seorang ketua menteri (Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali) yang telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap beliau (Sulaiman) pada Isnin lalu, berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, ketua menteri tersebut telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati TYT (Mohd Ali).

“TYT sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka, serta bertemu dengan 15 ADUN iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan.

“Malangnya tindakan beliau ini bukan sahaja telah melanggari duluan (precedent) bagi Melaka itu sendiri di mana pada 2020 nasihat ketua menteri ketika itu (Adly Zahari) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti, malah ia juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes (Datuk Seri) Nizar Jamaluddin lawan (Datuk Seri) Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah; Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP; Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO); Datuk Seri Madius Tangau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

837
Kongsi :
Previous post Sandiwara terancang empat bekas ADUN – Ab Rauf
Next post PPN, Bajet 2022 jadi teras pemulihan negara- Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=