Sorting by

×

UBAH NASIB KELUARGA MELALUI PENDIDIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 20 September – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) komited mengiktiraf anak-anak asnaf fakir, miskin dan mualaf yang cemerlang dalam pendidikan, sekali gus melangkah ke arah usaha mengubah nasib keluarga ke arah lebih baik.

Pengiktirafan itu dizahirkan melalui Majlis Anugerah Tunas Inspirasi (MATIN) 2025 yang meraikan 98 pelajar cemerlang daripada keluarga asnaf di seluruh Negeri Melaka, termasuk dua penerima Anugerah Ikon Usahawan Cemerlang MAIM yang berjaya dalam bidang keusahawanan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, MATIN adalah usaha MAIM untuk memberi dorongan dan penghargaan kepada pelajar asnaf yang tekun, tabah dan berdaya juang tinggi dalam mengejar ilmu.

“Anugerah ini bukan sekadar tanda penghargaan, tetapi menjadi lambang keutuhan semangat dan keteguhan usaha mereka dalam menempuh pelbagai cabaran demi mengubah masa depan diri dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari Ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.

Hadir sama, Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Insan MAIM, Zuraini Bibi Yusoff mewakili Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad.

Rahmad berkata, seramai 1,491 anak-anak asnaf menduduki lima peperiksaan utama pada tahun ini iaitu Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Penilaian Kolej Vokasional (PKV).

“Saya amat berbangga apabila keputusan peperiksaan menunjukkan peningkatan konsisten saban tahun, termasuk pencapaian cemerlang dalam sesi peperiksaan 2024.

“Tahniah kepada para pelajar serta ibu bapa yang sentiasa berkorban dan berusaha memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan sewajarnya meskipun berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

Menurutnya, MATIN menjadi platform penting untuk memperkasa mutu pencapaian pendidikan anak-anak asnaf di negeri ini.

“Usaha ini sekali gus membuktikan bahawa kesungguhan dan sokongan yang berterusan mampu membawa perubahan kepada komuniti tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

317
Kongsi :
Previous post SUKAN RAKYAT PERKUKUH PERPADUAN
Next post WTD 2025 LAIN DARIPADA YANG LAIN