UiTM ucap takziah atas kematian dua pelajarnya

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SHAH ALAM 11 Julai – Universiti Teknologi MARA (UiTM) berdukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga dua pelajarnya di cawangan Kedah dan Pahang yang meninggal dunia baru-baru ini.

Jabatan Komunikasi Korporat UiTM berkata, pihak pengurusan UiTM amat prihatin terhadap isu kematian Nurul Natasya Ezreen Azemi, 22, pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Cawangan Kedah serta Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini, 21, Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang.

Menurut kenyataan itu, UiTM sentiasa prihatin bagi memastikan kebajikan dan kemudahan pelajar dalam menjalani sesi pembelajaran secara Open Distance Learning (ODL).

Justeru, katanya, pelajar yang memerlukan kemudahan internet dan peranti dibantu dan dialu-alukan untuk menginap di kolej atau rumah sewa berhampiran kampus.

“Bagi aspek pentaksiran dan penilaian, UiTM melalui Bahagian Hal Ehwal Akademik serta pensyarah yang terlibat telah membuat pemakluman awal berkaitan tarikh-tarikh penting tugasan kepada pelajar awal semester melalui pelan pengajian setiap kursus.

“Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM melalui inisiatif prihatin telah pun melanjutkan aktiviti pentaksiran dan penilaian berterusan sepanjang minggu Penilaian Akhir sehingga Ogos 2021.

“la dilaksanakan melalui Pekeliling Akademik bil 11/2021 yang dikeluarkan dan telah dimaklumkan kepada semua pelajar dan pensyarah pada 18 Jun 2021 lalu,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Unit Kaunseling, UiTM juga sentiasa peka dan bersiap siaga bagi membantu pelajar dalam memberi khidmat nasihat dan apa jua bantuan diperlukan mereka dalam menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran secara ODL dalam situasi pandemik COVID-19 ini.

“Pelajar adalah disarankan agar sentiasa berbincang dengan pensyarah, penasihat akademik atau Ketua Program masing-masing bagi menyelesaikan apa jua isu berkaitan pentaksiran dan penjadualan penilaian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

868
Kongsi :
Previous post 6 remaja rentas negeri sambut hari jadi rakan dikompaun RM30,000
Next post Benjy sudah tiada
Ubah saiz-+=