‘Umur 36, saya masih relevan’ – Mat Yo
“WALAUPUN umur saya sudah 36 tahun, namun saya percaya saya masih relevan untuk bola sepak”.
Demikian kata, bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha atau lebih mesra dengan panggilan Mat Yo yang bakal beraksi bersama Melaka United, musim ini.
Katanya, walaupun dianggap sudah berusia, namun dia optimis pengalaman yang ada selama ini dapat membantu skuad Hang Tuah untuk sekurang-kurangnya meraih satu kejuaraan.
“Setiap tahun misi saya tetap sama, saya tetap laparkan kejuaraan dan diharap satu piala mampu diraih bersama pasukan musim ini,” katanya ketika ditemui di sesi latihan pasukan di Stadium Hang Tuah, hari ini.
Mengulas mengenai keserasian bersama pemain baharu musim ini, Mat Yo berkata, dirinya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri memandangkan dia pernah beraksi bersama kebanyakan pemain yang ada dalam pasukan.
“Saya pernah beraksi bersama Fadhli Shaas, Shazwan Andik, malah Ifedayo juga, jadi bagi saya tiada masalah.
“Apa yang lebih penting ialah kepercayaan di antara satu sama lain dan barisan kejurulatihan percaya dengan pemain-pemain yang ada.
“Insya-Allah jika semua ini berlaku, kita mampu mencipta kejutan pada musim baharu ini,” ujarnya.
Di kesempatan sama, Mat Yo turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Melaka United yang sudi menerimanya sebagai keluarga baharu tahun ini.
“Terima kasih juga kepada isteri dan anak kerana merestuai saya untuk beraksi bersama Melaka United,” katanya yang beraksi bersama Sarawak United pada musim lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.