Unit khas pantau aduan rakyat diwujudkan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat
TANJUNG BIDARA 31 Mei – Sebuah unit khas bagi mengenal pasti dan menilai aduan rakyat Negeri Melaka diwujudkan bagi memastikan segala permasalahan diselesaikan mengikut tempoh masa tertentu.
Ab Rauf berkata, unit berkenaan bakal bertindak sebagai pemantau bagi melihat progres semasa aduan sehinggalah waktu penyelesaiannya.
Selain itu, beliau berkenaan, unit berkenaan turut memantau segala permasalahan rakyat di media sosial bagi membolehkan segala isu diselesaikan dengan baik.
“Saya mengarahkan semua aduan atau permohonan yang diterima mesti diselesaikan dalam tempoh dua minggu dari tarikh penerimaan sumber aduan.
“Tidak kiralah aduan di media sosial atau menerusi surat rasmi, semua itu akan melalui proses saringan mengikut jabatan dan ia akan dipantau satu unit khas sehinggalah ia diselesaikan.
“Alhamdulillah, setakat ini, saya melihat kebanyakan masalah dapat diselesaikan dengan baik menerusi kaedah tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, pihaknya turut membuat penambahbaikan empat perkara baharu dalam pentadbirannya.
Jelas beliau, antara pendekatan yang diperkenalkan ialah seluruh agensi dan Jabatan Kerajaan Negeri diminta memberi penghormatan kepada lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya pada jam 10 pagi setiap Isnin sebagai tanda semangat patriotisme untuk negeri dan negara.
Selain itu, kata beliau, setiap mesyuarat sama ada mesyuarat jawatankuasa kecil atau bertaraf Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) perlu dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah.
“Ketiga, bagi meningkatkan kualiti dan mutu mesyuarat, pihak terlibat tidak dibenarkan membawa telefon bimbit. Ini juga dilakukan bagi mengelak ketirisan serta menjamin keselamatan rahsia pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Manakala, perkara terakhir ialah semua individu tidak dibenar menggunakan nama Ketua Menteri atau wakil rakyat dalam meraih keuntungan membida mana-mana projek di negeri ini.
“Saya perlu bertegas dan tidak mengizinkan mana-mana pihak menggunakan nama saya untuk mendapat projek. Ini termasuk pegawai-pegawai kanan dalam pejabat saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1073
Kongsi :
Previous post Kampung di Melaka bakal ada kod QR
Next post Bandaraya baharu Melaka di koridor M-WEZ
Ubah saiz-+=