
URUSAN DI SMK GHAFAR BABA KINI GUNA E-MEL RAKYAT MELAKA
AYER KEROH 24 Julai – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah kini memanfaatkan sepenuhnya platform E-Mel Rakyat bagi penyaluran maklumat berhubung aktiviti pelajar, pembelajaran dalam kelas dan perkembangan berkaitan pentadbiran sekolah.
Setiap akaun E-Mel Rakyat adalah istimewa kerana ia menggunakan domain @melaka.my, sekali gus menjadikan Melaka terus terkehadapan dalam agenda pendigitalan rakyat di negeri ini.
Pengetua SMK Ghafar Baba Sahreah Md Zain berkata, platform itu menyediakan akses kepada maklumat berkaitan guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti sekeliling yang terlibat secara langsung dengan urusan sekolah berkenaan.
Katanya, setakat ini pihak sekolah menerima maklum balas yang amat positif daripada ibu bapa berhubung penggunaan E-Mel Rakyat sebagai platform hebahan, atau pemakluman berhubung perkembangan pelajar atau perkara-perkara berkaitan yang lain.
“Sebagai sekolah rintis diakui kami juga berdepan pelbagai masalah seperti masih ada yang agak kekok kerana sudah terbiasa dengan platform seperti WhatsApp dan Telegram sebagai medium hebahan sebelum ini. Namun dalam sedikit masa saya yakin semua pihak terlibat akan menyesuaikan diri dengan inisiatif dilaksanakan ini.
“Kami juga sedia untuk menerima sebarang pandangan atau cadangan untuk menambah baik platform ini agar kewujudannya benar-benar memberikan impak kepada sistem pengurusan pendidikan. Sehubungan itu saya amat berharap semua pihak memanfaatkan sepenuhnya platform ini demi kebaikan semua,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian E-Mel Rakyat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Khamis.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Digital negeri Mahanum Daim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta kenamaan lain.
Sahreah berkata, pelaksanaan inisitif E-Mel Rakyat yang juga hasil cetusan idea Ketua Menteri amat bertepatan dengan perkembangan pendigitalan semasa, meskipun memerlukan tempoh penyesuaian sebelum digunakan secara menyeluruh.
“Setakat ini pendaftaran E-Mel Rakyat melibatkan guru dan pelajar SMK Ghafar Baba sudah mencapai 100 peratus. Sementara itu bagi ibu bapa pula sudah 80 peratus dan kita jangka proses pendaftaran akan lengkap sepenuhnya pada hujung Ogos.
“Alhamdulillah sepanjang proses menjayakan inisiatif E-Mel Rakyat kami mendapat kerjasama dan bimbingan daripada Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) serta Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

