Usahawan tani muda edar 1,040 terung percuma

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat
MUHAMMAD Iskandar menyemai sendiri benih terung di kebunnya di alan KUIM, Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru di Alor Gajah. Foto Din Ahmad

KUALA LINGGI 11 Julai – Dua usahawan tani muda berhati mulia mengedarkan 1,040 anak pokok terung kepada anggota komuniti di beberapa kampung di Kuala Sungai Baru, di sini semata-mata untuk membolehkan mereka menikmati sayur untuk kegunaan sendiri.

Berbudi kepada manusia selepas berbudi kepada tanah memberikan kepuasan kepada Muhammad Iskandar Abdul Rahim, 23, dan rakan kongsinya, Shahrul Izwan Abdul Wahab, 32.

Didorong rasa ingin berbakti sesama manusia, selain melihat anak pokok terung yang disemai sendiri bakal menghasilkan buah berkualiti tinggi untuk kegunaan sendiri, mereka mengedarkan
pokok itu yang berusia sebulan kepada jiran tetangga dan penduduk beberapa kampung.

Muhammad Iskandar berkata, sebanyak 1,040 benih pokok itu diedarkan secara percuma kepada anggota komuniti Kampung Pantai, Permatang dan Ladang di Kuala Sungai Baru, di sini dengan harapan mereka mampu menanamnya sama ada melalui kaedah konvensional atau fertigasi.

“Kami sudah menanam 600 pokok terung dan 2,000 cili padi melalui kaedah fertigasi, iaitu kaedah penanaman pokok dalam beg poli sejak tiga tahun lalu.

“Kami amat gembira kerana kedua-dua jenis tanaman itu mengeluarkan hasil yang baik walaupun menghadapi ancaman banjir kilat, penyakit bawaan makhluk perosak dan seumpamanya,” katanya ketika ditemui di kebun cili padi dan terungnya di Jalan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kampung Permatang di sini semalam.

Penerima geran Agropreneur Muda Jabatan Pertanian Melaka itu berkata, mereka menyemai benih kedua-dua jenis tanaman itu dalam bekas semaian yang setiap satu mempunyai 104 lubang semaian.

Katanya, mereka menyemai benih terung dalam 10 bekas semaian sebulan lalu dan mula mengeluarkan tunas selepas berusia 37 hari sebelum diedarkan kepada anggota komuniti.

Setakat ini mereka mengedarkan hanya anak pokok terung kepada anggota komuniti dengan syarat mereka benar-benar menunjukkan minat mendalam untuk menanamnya sama ada
dalam beg poli atau secara konvensional.

“Ada yang minta dua benih dan ada juga yang meminta lima, kami tetap memberikannya asalkan mereka benar-benar ingin menanam dan menikmati hasilnya,” katanya.

Beliau berkata, pokok terung yang dipindahkan ke dalam beg poli atau ditanam secara konvensional mampu mengeluarkan hasil untuk dituai selepas mencapai usia 60 hari.

Katanya, dengan harga terung semasa RM7 sekilogram, ia amat sesuai untuk dijadikan sayur kegunaan sendiri, sekali gus menjimatkan perbelanjaan harian.

Beliau berkata, pokok terung hanya memerlukan baja seminggu sekali dan mampu menahan serangan penyakit jika disembur racun penghalang makhluk perosak juga seminggu sekali.

Katanya, mereka bersedia menyemai anak pokok terung selepas 1,040 anak pokok berkenaan selesai diedarkan bagi menggalakkan anggota komuniti berkebun dan menikmati
hasil titik peluh sendiri.

Views:

630
Kongsi :
Previous post Polis berjaya kesan 532 individu gagal hadir saringan kedua Covid-19
Next post CIDB peruntukan RM70 juta bantu industri pembinaan
Ubah saiz-+=