UTeM sedia 2,000 kit ujian RTK pada konvokesyen ke-17

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 7 Mac – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyediakan 2,000 kit ujian kendiri COVID-19 untuk kegunaan graduan bergejala semasa menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-17 universiti itu 14 hingga 17 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, graduan juga diwajibkan untuk melakukan ujian pantas (RTK) antigen sehari sebelum menghadiri konvokesyen.

“Graduan, ibu bapa atau penjaga yang datang konvokesyen nanti kita minta mereka buat ujian RTK, tunjukkan bukti kepada pengawal keselamatan di pintu utama dan baru mereka dibenarkan masuk.

“Tetapi jika mereka sudah masuk ke perkarangan majlis dan menunjukkan gejala, kita tidak akan biarkan sebaliknya ambil pendekatan menyediakan lebih 2,000 kit untuk ujian RTK.

“Kita juga ada perhidmatan kesihatan di dewan konvokesyen, jika ada yang bergejala kita  asingkan di tempat disediakan, bagi memastikan konvokesyen selama empat hari ini berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Konvokesyen Ke-17 UTeM, 14 hingga 17 Mac ini di Bangunan Canselori UTeM di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr Zulkifilie Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ghazali berkata konvokesyen UTeM kali ini bakal menyaksikan seramai 3,275 graduan bakal menerima anugerah.

“Seramai 61 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), dua graduan menerima Ijazah Doktor Kejuruteraan, 194 graduan (Ijazah Sarjana), 2,525 graduan (Ijazah Sarjana Muda) dan 493 graduan menerima Diploma.

“Kali ini UTeM turut menyampaikan Anugerah Khas Huffaz Profesional kepada seorang pelajar dari Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Dengan Kepujian buat pertama kali.

“Terdapat juga Anugerah Profesor Emeritus diberikan kepada Datuk Ismail Hassan sebagai tanda penghargaan beliau telah berjasa kepada UTeM yang dilantik sebagai Naib Canselor pertama UTeM pada tahun 2007 hingga 2008,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1142
Kongsi :
Previous post Program TVET pertanian mampu lahirkan usahawan tani
Next post RM30 juta bina ‘breakwater’ Pantai Puteri
Ubah saiz-+=