Sorting by

×

VETERAN ATM HILANG PENGLIHATAN TERIMA RUMAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

GADEK 23 April – Struktur dan binaan rumah pusaka yang mengalami kerosakan dengan lantai reput serta bumbung berlubang menyebabkan pasangan ini sentiasa keresahan terutama setiap kali berlaku hujan lebat.

Namun Amran Sulaiman, 59, dia mengambil keputusan untuk terus tinggal di rumah berkenaan bersama isteri Rozimah Abdullah, 57, kerana dianggap amat berharga buat dirinya.

Berkongsi kisahnya Amran berkata, dia mula hilang kemampuan untuk menyelenggara rrumah pusaka berkenaan berikutan hilang punca pendapatan apabila tahap penglihatannya semakin merosot disebabkan masalah saraf kesan hentakan akibat terbabit kemalangan.

“Sekarang ini mata kanan saya langsung tidak nampak, mata kiri pula 90 peratus kabur dan sampai sekarang saya masih ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan, rawatan melalui pembedahan juga amat berisiko, doktor maklumkan saya boleh terus menjadi buta.

“Sebelum ini saya berkhidmat bersama Tentera Darat Malaysia namun memilih untuk menamatkan perkhidmatan awal pada 2002 dan pulang ke kampung di Melaka. Kemudian saya bekerja sebagai pemandu lori dan ketika itu saya terbabit kemalangan menyebabkan tahap penglihatan semakin merosot, sekarang kedua-dua belah mata sudah tidak nampak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seri Tanjung, Tanjung Rimau, di sini, 16 April lalu.

Terdahulu Amran menerima kunjungan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang menyatakan persetujuan Kerajaan Negeri untuk membina kediaman baharu yang lebih selesa buatnya dan isteri.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Keadaan Amran turut mendapat perhatian pelbagai pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan sosial (PERKESO) dan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tampil menghulurkan bantuan mengikut keperluannya.

Sementara itu Rozimah berkata, jika hujan terlalu lebat dia dan suami terpaksa menumpang berteduh di rumah anaknya kerana keseluruhan ruang dalam kediaman itu basah.

“Bumbung banyak yang bocor jadi tidak selesa untuk tinggal dalam rumah kalau hujan, lebih merisaukan apabila rumah kami kerap dimasuki ular termasuk jenis berbisa.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusan pembinaan kediaman baharu kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

402
Kongsi :
Previous post DAPATAN KAJIAN ‘GO STRAIGHT’ PERSIMPANGAN HICOM PEGOH DIBENTANG MEI INI
Next post 20 ANAK B40 MELAKA MELAKA BAKAL GENGGAM SAYAP PENERBANGAN