‘Vida’ berperang dengan masa

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KETUA Jurulatih baharu Melaka United Risto Vidakovic mengakui berdepan cabaran hebat dalam mempersiapkan pasukan menghadapi pembukaan Liga Super musim 2022, awal bulan depan.

Dengan tempoh hanya sebulan untuk mempersiapkan pasukan, bagi jurulatih asal Bosnia & Herzegovina itu ia waktu yang cukup suntuk untuknya dan pasukan.

Namun, beliau enggan menjadikannya sebagai alasan, sebaliknya kekal fokus memanfaatkan masa yang ada untuk menyatukan skuad Hang Tuah.

“Ya, tempoh yang ada terlalu singkat, tetapi kita tidak boleh memanjangkan waktu itu (mempersiapkan pasukan).

“Jadi, kita perlu bekerja mengikut tempoh masa yang kita ada dan saya akan cuba memastikan semuanya dipersiapkan sebelum sepak mula nanti.

“Dalam masa yang singkat ini, saya akan cuba untuk menyiapkan taktikal yang bersesuaian dan yang paling penting seluruh pasukan tahu apa yang perlu mereka lakukan,” katanya ketika ditemui dalam sesi latihan pertama bersama Melaka United di Stadium Hang Tuah, hari ini.

Mengulas mengenai barisan pemainnya musim ini, Vidakovic percaya setiap pemain yang ada mempunyai kekuatan tersendiri dalam memacu kecemerlangan Melaka United.

KELIBAT Vidakovic pada hari pertama sesi latihan di Stadium Hang Tuah, Melaka. Foto: MR. Azli

Katanya, meskipun tidak mendapat peluang memilih pemain import sendiri, namun pemain yang ada dilihat cukup berkualiti berdasarkan rekod pada musim lalu.

“Bagi saya, kelab ini mendapat pemain yang bagus. Ada di antara mereka beraksi cemerlang musim lalu dan terbukti berkualiti.

“Apapun, kita perlu melihat sejauh mana pemain-pemain ini dapat menyesuaikan diri sesama mereka dan juga corak permainan yang diterapkan.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk menyatukan mereka semua ke satu tahap yang diinginkan bukan sahaja diri saya, bahkan juga kelab dan penyokong,” katanya.

Dalam pada itu, bercakap soal persiapan pasukan sebelum jendela musim 2022 dibuka, jurulatih berusia 53 tahun itu berkata, pihaknya bakal mempersiapkan diri dengan menghadapi tiga aksi persahabatan menentang dua pasukan Liga Super dan satu pasukan Liga Premier musim ini.

Katanya, aksi persahabatan pertama dijadual menentang Selangor FC 2 pada 9 Feb dan diikuti aksi menentang Terengganu FC pada 18 Feb sebelum mengakhiri aksi pra musim menentang Selangor FC pada 25 Feb ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1209
Kongsi :
Previous post KKM nafi larang warga emas mengundi PRN Johor
Next post Pembeli lega harga baharu ayam
Ubah saiz-+=