Sorting by

×

W.R.U.R: KAMI DATANG UNTUK RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LINGGI 5 Januari – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) diseru untuk hadir memeriahkan pelbagai program yang diadakan selama dua minggu bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) yang bermula semalam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, program itu dirangka khusus untuk rakyat mendekati pemimpin dan menyalurkan segala aduan serta permasalahan untuk diselesaikan secara tuntas.

Menurut beliau, menerusi program tersebut, setiap Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri bersama jabatan dan agensi terlibat akan ‘berkampung’ di DUN yang menjadi tuan rumah W.R.U.R bagi melihat apa jua masalah dan penambahbaikan yang boleh dilakukan, selain menyertai program serta aktiviti bersama rakyat.

“Program ini dipanggil Wakil Rakyat Untuk Rakyat kerana kami hadir adalah untuk rakyat. Walaupun saya merupakan Adun Paya Rumput, namun saya juga merupakan Exco yang bertanggungjawab dengan segala masalah dan aduan rakyat.

“Jadi kami (Exco, jabatan dan agensi) hadir untuk memastikan segala aduan-aduan itu didengari dan mengambil tindakan segera.

“Mengambil contoh di Kuala Linggi, walaupun W.R.U.R baru bermula 4 Januari, namun sejak sebulan yang lalu pemimpin-pemimpin setempat sudah mula mengumpulkan segala aduan rakyat di kawasan ini dan seterusnya ia akan diselesaikan semua yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) di Denai Parit Besar @Universiti Islam Melaka (UNIMEL), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah JPS negeri, Ir. Ts. Dr. Muhamad Khairudin Khalil dan Naib Canselor UNIMEL, Prof Datuk Dr. Abdul Khalil Shawkataly.

Dalam pada itu, Rais mewakili Kerajaan Negeri berharap W.R.U.R yang diilhamkan Ketua Menteri mendapat sambutan hebat dan mencapai objektifnya dalam menyantuni rakyat dan mendekatkan pemimpin dengan masyarakat.

Beliau berkata, selepas Kuala Linggi, W.R.U.R akan menjelajah DUN Pengkalan Batu di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya yang dijadual pada Februari depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

310
Kongsi :
Previous post 3 DENAI SUNGAI JADI PUSAT RIADAH BAHARU DI MELAKA
Next post KENDURI RAKYAT W.R.U.R KUALA LINGGI TUMBANG 2 EKOR LEMBU
Ubah saiz-+=