WAKIL RAKYAT MELAKA MESTI ‘KETUK PINTU’ RUMAH RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TABOH NANING 3 September – Semua wakil rakyat di Melaka diminta turun padang dan ‘mengetuk pintu’ rumah rakyat bagi menyelami denyut nadi serta menyelesaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan wakil rakyat sentiasa dekat dengan masyarakat selain memahami sendiri keperluan penduduk di kawasan masing-masing.

Menurut beliau, usaha dilakukan itu menjadikan ramai menyifatkan Melaka sebagai sebuah negeri ‘tak relaks’ dalam menyantuni rakyat dan memastikan pembangunan serta kesejahteraan bergerak seiring.

“Di era pentadbiran saya, saya akan minta wakil rakyat mengetuk pintu rakyat, menyentuh hati dan nurani mereka serta menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Bukan Melaka sahaja tidak ‘relaks’, Ketua Menteri pun tidak ‘relaks’. Kita akan terus melaksanakan program demi rakyat untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada Ramah MeSRa Ketua Menteri Melaka Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli Bukit Payung sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ab Rauf berkata, pelaksanaan program seperti Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masyarakat melalui pendekatan menyantuni rakyat dengan penuh kasih sayang.

“Ini bukan masa untuk kita duduk di pejabat dengan pakaian cantik sahaja. Kita dipilih oleh rakyat dan kita mesti berkhidmat untuk rakyat.

“Kita bukan ahli politik yang hanya pakar memfitnah atau mencari salah orang lain. Kita adalah parti politik yang mengurus kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post HARI KEBANGSAAN: PARAKOM MELAKA KENDALI 60 KES KECEMASAN DI KLEBANG
Next post RAKYAT SUSAH TIDAK DILUPAKAN, TABOH NANING RASAI KASIH SAYANG TOK RAUF