Wanita Indonesia dipenjara sembilan bulan tipu identiti untuk vaksin

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER KEROH, 1 Oktober – Seorang wanita operator kilang telur warga Indonesia dan pengurus Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masing-masing dihukum penjara sembilan bulan dan didenda RM1,700 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan berkaitan penipuan identiti bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19.

Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah Nela, 29, dan Chong Dee Loong, 52, dan mensabitkan mereka dengan pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Nela didakwa memperdayakan petugas PPV Bayou Lagoon Convention Centre, dengan menggunakan pasport individu lain bernama Siti Aisyah bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan PPV berkenaan di Taman Saujana Bukit Katil, antara 22 Ogos jam 10.08 pagi hingga 12 September lalu, jam 10.54 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Nela juga didapati bersalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama atas kesalahan memasuki Malaysia tanpa permit yang sah.

Sementara itu, Dee Loon, 52, pula didapati bersalah atas pertuduhan gagal memberikan maklumat kehadiran Nela yang disyaki menggunakan pasport individu lain bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 kepada pegawai polis.

Bagi kesalahan itu dia yang juga ibu tunggal dituduh mengikut Seksyen 176 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding sama, pengurus kilang telur, Yong Yeow Ming, 50, tidak mengaku bersalah mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 419 iaitu bersubahat menipu petugas di PPV berkenaan hingga mendorong suntikan diberikan kepada Nela.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Yeow Ming juga didapati telah membenarkan dua warga asing iaitu Helmi Rinaldi dan Nela yang merupakan migran haram masuk ke premis Yong Yew Farm Sdn. Bhd, Bukit Beruang, pada jam 12.30 tengah hari, 15 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan dan tiga bulan terhadap Nela atas kesalahan menipu identiti dan imigresen masing-masing bermula dari tarikh ditangkap 15 September manakala Dee Loon didenda RM1,700.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri manakala Dee Loon dan Yeow Ming masing-masing diwakili peguam, Kent Tan Chiw Teng dan Aider Chan Chee Yuan.

Mahkamah juga membenarkan Yeow Ming diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 10 November depan sebagai sebutan semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

786
Kongsi :
Previous post Rebah di PPV: Dua insiden waktu hampir sama punca kekeliruan
Next post Penafian berita tular 1 Oktober
Ubah saiz-+=