Sorting by

×

Wanita UMNO anjur program maya bantu rakyat tangani tekanan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 6 Sept – Sepanjang pandemik COVID-19, ramai individu terkesan dari segi emosi dan fizikal kerana mengalami masalah seperti dibuang kerja selain kegagalan rumah tangga.

Menyedarinya, Wanita UMNO Melaka menganjurkan ceramah dan taklimat kepada rakyat yang mengalami kedua-dua masalah itu secara maya baru-baru ini.

Naib Ketuanya Datuk Zaleha Bujang berkata, Wanita UMNO mengambil inisiatif itu sebagai usaha membantu orang ramai untuk menangani tekanan dengan baik.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin berkata, akibat tekanan yang membelenggu, ada kalangan masyarakat mengalami gangguan mental dan fizikal kerana tidak tahu kaedah sesuai untuk menanganinya.

ZALEHA (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kit makanan kepada ‘frontliner’ di Dewan Alamanda.

“Memandangkan sebelum ini Melaka menjalani Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tidak membenarkan kita menganjurkan sebarang program, Wanita UMNO Cawangan Jasin melakukannya secara maya menerusi Google Meet.

“Setakat ini, program berkenaan telah berlangsung dua kali iaitu di kawasan Jasin dan Hang Tuah Jaya dengan penyertaan lebih kurang 20 hingga 30 peserta,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Zaleha berkata, selain itu, pihaknya turut mengambil inisiatif turun padang untuk memasak dan mengagihkan makanan kepada petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga memberi perkhidmatan melindungi rakyat.

“Menerusi Skuad Sayang Wanita Jasin, kita hantar makanan kepada ‘frontliners’ supaya ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan menghargai jasa mereka.

“Kita juga membantu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing untuk mengagihkan kit makanan kepada keluarga yang dijangkiti COVID-19.

“Kita juga mewujudkan tabung kebajikan untuk membantu mangsa COVID-19 dan keluarga yang terjejas banjir sekiranya berlaku musibah itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebagai usaha untuk menggalakkan rakyat mengambil vaksin, pihaknya turut membantu orang ramai terutama warga emas dan penduduk di kawasan pedalaman mendaftar program vaksinasi.

Jelasnya, pada masa sama, UMNO Cawangan Jasin turut menjalankan program daftar pengundi kepada masyarakat di kawasan pedalaman dan individu yang belum mendaftar sebagai pemilih.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

514
Kongsi :
Previous post Tujuh remaja sesat cari air terjun ditemui selamat- Bomba
Next post Perbincangan SOP, kelonggaran ke Fasa Endemik libatkan tiga menteri lain- Hishammuddin
Ubah saiz-+=