Warga emas maut, lima cedera kereta bertembung di Tampin

Masa Membaca:59 Saat

SEREMBAN, 14 Feb – Seorang warga emas maut manakala lima lagi cedera selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 1 Jalan Sungai Dua ke Air Kuning Selatan berhampiran Masjid Kg Sungai Dua, Tampin dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa lelaki berusia 65 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Honda City dari Tangkak ke Rompin dipandu seorang lelaki dengan tiga penumpang termasuk mangsa yang duduk di bahagian belakang penumpang sebelah kanan…dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kenderaan jenis Lexus yang dipandu seorang lelaki dengan dua penumpang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, lima individu dari kedua-dua kenderaan itu mengalami kecederaan dengan dua daripadanya masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.

Amiruddien berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

721
Kongsi :
Previous post Pesawat terhempas: Proses bedah siasat dijangka selesai hari ini
Next post Gunung Melaka jadi tumpuan, penduduk dapat tempias rezeki
Ubah saiz-+=