Warga PDRM Johor perlu kekal integriti dan amanah untuk teruskan kecemerlangan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

JOHOR BAHRU,16 Jan – Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor diseru agar terus mengekalkan integriti dan amanah dalam setiap penugasan, bagi meneruskan kesinambungan kecemerlangan yang dicapai kontinjen Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata beliau juga akan memikul amanah dengan sebaiknya, dengan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak.

“Pastikan kita kekal berintegriti dalam setiap penugasan, ikhlas dalam penugasan dan amanah dalam memikul tanggungjawab.

“Jangan sesekali kita jadi pembelot kepada pasukan kita, insya-Allah kita bukan sahaja berjaya di dunia, tetapi juga di akhirat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, di sini hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin menyerahkan tugas kepada Kamarul Zaman sebagai Ketua Polis Johor yang baharu, disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain.

Kamarul Zaman juga pada masa sama berkata kecemerlangan bukan sahaja perlu dicapai dalam kalangan warga PDRM Johor, tetapi juga di mata masyarakat.

“Kita dan masyarakat berpisah tiada, justeru saya berjanji akan mengambil tanggungjawab ini dengan sepenuh tekad dan sepenuhnya.

“Dengan gabungan pengalaman Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw, ketua-ketua jabatan dan semua, paling utama sokongan padu warga Johor dan media, saya yakin kita akan aman dan tenteram,” katanya.

Kamarul Zaman yang dilahirkan di Tanah Merah, Kelantan menyertai PDRM pada 1988.

Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Polis Kedah, Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

936
Kongsi :
Previous post Long Tiger akan dituduh 19 Jan ini
Next post Pemain, jurulatih Melaka United diumum minggu depan
Ubah saiz-+=