Sorting by

×

WRUR: 163 PERMOHONAN TANAH KERAJAAN DILULUSKAN DI DAERAH ALOR GAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

DURIAN TUNGGAL 4 November – Kerajaan Negeri telah meluluskan 163 Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) bagi daerah Alor Gajah disusuli Notis 5A dikeluarkan Pentadbir Tanah sepanjang tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkata usaha itu merupakan satu pencapian yang mencerminkan kecekapan dan komitmen Kerajaan Negeri dalam mengurus hak milik tanah rakyat.

Ab Rauf, percaya penerima dapat menarik nafas lega apabila impian untuk memiliki tanah sendiri menjadi kenyataan.

“Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, kita menyerahkan sebanyak 16 surat PTK kepada penerima yang telah berjaya melalui proses penilaian.

“Daripada jumlah itu, 14 penerima melibatkan tanah rizab di Jalan Keretapi di Kampung Gangsa, Belimbing Dalam dan Parit Melaka.

“Manakala, dua lagi penerima adalah agensi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi tapak pembinaan Masjid Taman Vista Belimbing dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi tapat depot kenderaan dan logistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Persimpangan Bulatan Pantai Belimbing dan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan PTK sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi, dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir. Mohamad Salzeli Moktar; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri sentiasa menyantuni rakyat dengan menawarkan kadar bayaran lebih rendah bagi tanah rizab Jalan Keretapi antara RM11,000 hingga RM49,000 bergantung kepada keluasan tanah masing-masing.

Jelasnya, keputusan itu membuktikan prinsip Kerajaan Negeri yang mendahulukan rakyat serta memberi peluang kepada golongan berpendapatan sederhana memiliki tanah sendiri pada kadar mampu milik.

“Tanah bukan sekadar aset, tetapi amanah untuk menjamin kesejahteraan berteraskan keperluan sebenar rakyat agar kemajuan dapat dirasai secara menyeluruh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post WRUR: PERSIMPANGAN BULATAN PANTAI BELIMBING ATASI KESESAKAN TRAFIK
Next post WRUR: MERCU TANDA IKONIK BAKAL HIASI BULATAN PANTAI BELIMBING