Sorting by

×

WRUR: 220 ADUAN DITERIMA, ISU HAKISAN DAN INFRASTRUKTUR ANTARA FOKUS

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 Oktober – Sebanyak 220 aduan diterima sempena pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, sebahagian besar aduan yang diterima berkaitan isu hakisan sungai, sistem saliran, serta prasarana di taman-taman perumahan di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Katanya, merupakan lokasi WRUR kesembilan, WRUR DUN Durian Tunggal akan berlangsung selama dua minggu bermula 26 Oktober sehingga 6 November depan dan ia merupakan ruang dan peluang untuk warga sekitar berbincang, menyuarakan pandangan serta menyelesaikan isu secara terus dengan Kerajaan Negeri.

“Antara aduan yang diterima membabitkan hakisan Sungai di Kampung Beringin yang mana isu ini di bawah portfolio saya dan kita akan turun bersama Jabatan Pengairan dan Saliran negeri bagi meninjau kawasan tersebut dan jika perlu, kita akan mohon peruntukan di peringkat Persekutuan.

“Manakala isu-isu lain yang diadukan sekiranya isu itu boleh diselesaikan di peringkat negeri, tindakan segera akan diambil tanpa menunggu kelulusan pusat.

“WRUR ini bukan sekadar program kutip aduan, tetapi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan secepat mungkin,”katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program WRUR DUN Durian Tunggal di Kampung Beringin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rais turut menyatakan akan meninjau serta mengambil tindakan berkaitan kawasan tumpuan banjir di sekitar DUN Durian Tuggal.

“Di kawasan Durian Tunggal juga terdapat beberapa lokasi ‘hotspot’ banjir, namun ada diantara lokasi telah diatasi isu tersebut, mungkin di kawasan lain akan diusahakan untuk menyelesaikan isu tersebut untuk jangka pendek serta jangka panjang yang akan dirancang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post WRUR: 10 EXCO JADI ‘BAPA ANGKAT’ KAMPUNG DI DURIAN TUNGGAL, PANTAU PENYELESAIAN ISU
Next post KETUA MENTERI SAMPAIKAN KUPON RAKYAT UNTUK ORANG TANJUNG BIDARA