Sorting by

×

WRUR: 228 PROGRAM ‘GAMATKAN’ DURIAN TUNGGAL SELAMA DUA MINGGU

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Sebanyak 228 program bakal mewarnai Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal yang berlangsung selama dua minggu bermula 26 Oktober sehingga 6 November depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil berkata, pengisian program WRUR itu menampilkan pengisian menyeluruh dan pelbagai yang merangkumi kebajikan, agama, kesihatan, sukan, pendidikan serta lain-lain.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, berkata program berkonsepkan turun padang itu menjadi platform terbaik untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat di peringkat akar umbi.

“WRUR ini bukan sekadar untuk bersantai, tetapi platform untuk kita dengar sendiri keluhan dan pandangan rakyat. Ia dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat dan pemimpin tempatan.

“WRUR ini juga menjadi wadah menyeluruh menyampaikan maklumat terkini pembangunan kawasan termasuk projek pendidikan, infrastruktur serta kebajikan rakyat dalam kawasan Durian Tunggal,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program WRUR DUN Durian Tunggal yang disempurnakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin di kawasan sawah Bukit Beringin, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri, Datuk VP Shanmugam serta kenamaan lain.

Zahari memaklumkan, majlis perasmian pembukaan WRUR DUN Durian Tunggal turut menampilkan program D’Sawah Durian Tunggal 2025 yang berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan menjala ikan, tangkap itik dan acara bendang rakyat membabitkan penduduk setempat.

Tambahnya, selain pelbagai aktiviti menarik, program itu turut menyediakan gerai jualan komuniti dan pameran reruai agensi kerajaan negeri yang dibuka kepada orang ramai sepanjang program berlangsung.

“Kita mahu rakyat tahu bahawa pemimpin sentiasa dekat dengan mereka, bukan hanya ketika pilihan raya. Saya harap sepanjang WRUR DUN Durian Tunggal ini, penduduk setempat dapat menghadiri semua program yang telah direncanakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post WRUR: AGENSI KERAJAAN NEGERI SEMAKIN MATANG, KOMITED SELESAI ISU
Next post TELOK BEREMBANG PRODUK PELANCONGAN LUAR BANDAR BAHARU