Sorting by

×

WRUR: 9 SIRI, 71 PERATUS ADUAN RAKYAT DISELESAIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

DURIAN TUNGGAL 6 November – Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan sebanyak 71 peratus aduan rakyat menerusi sembilan siri Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) setakat ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peratusan itu bersamaan dengan 1,408 aduan daripada jumlah keseluruhan sebanyak 1,986 aduan yang diterima.

Menurut beliau, pencapaian itu sekali gis membuktikan keberkesanan WRUR dalam menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat.

“Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal sahaja, sebanyak 214 aduan diterima, dengan 49 aduan telah diselesaikan manakala selebihnya dalam tindakan segera jabatan dan agensi berkaitan.

“Saya benar-benar terharu melihat semangat rakyat yang menyambut baik 228 program sepanjang WRUR Durian Tunggal ini, dari komuniti, ziarah kasih hinggalah gotong-royong di kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Penutup Penutupan Program WRUR DUN Durian Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Kalil; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, WRUR menjadi wadah penyatuan antara wakil rakyat, jabatan, agensi dan pemimpin masyarakat bagi menyelesaikan permasalahan rakyat di seluruh negeri.

“Program WRUR ini diilhamkan dengan dua matlamat utama iaitu memastikan semua wakil rakyat turun ke lapangan membantu rakyat serta menyelesaikan setiap aduan dengan segera.

“Kita tidak mahu hanya mendengar aduan, tetapi mahu menyelesaikannya sebaik mungkin kerana ini amanah kami,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post MAIM TERIMA SIJIL PENGHARGAAN H.E.M.A.T