
WRUR: AGENSI KERAJAAN NEGERI SEMAKIN MATANG, KOMITED SELESAI ISU
DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang kini memasuki siri kesembilan memperlihatkan kesemua agensi Kerajaan Negeri semakin matang dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, ia sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyantuni rakyat dan menyelesaikan isu tempatan secara berkesan.
Katanya, inisiatif yang digagaskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu menjadikan agensi Kerajaan Negeri kini lebih proaktif menyelesaikan aduan rakyat di peringkat akar umbi.
“Alhamdulillah, WRUR ini sudah sampai ke siri kesembilan dan WRUR keempat dalam Daerah Alor Gajah yang mana kita liha di WRUR DUN Klebang sebelum ini, tahap kepuasan rakyat mencapai 94.8 peratus.
“Kita mahu pendekatan mesra rakyat ini terus menjadi budaya kerja Kerajaan Negeri.
“Program turun padang seperti ini bukan sekadar menyelesaikan masalah rakyat, tetapi turut memperkukuh hubungan antara pemimpin tempatan bersama komuniti setempat,” katanya ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Program WRUR DUN Durian Tunggal di Kampung Beringin, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata WRUR Durian Tunggal yang berlangsung selama 14 hari itu bermula 26 Oktober sehingga 6 November depan telah menerima sebanyak 220 aduan melibatkan pelbagai isu setempat.
“Majlis penutup pada 6 November depan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal.
“Justeru, saya harap warga Durian Tunggal dapat mengambil kesempatan menggunakan platform ini sebaik mungkin agar setiap rintihan dan permasalahan dapat diselesaikan menerusi saluran yang betul,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


