WRUR AYER LIMAU: SISA DAPUR JADI BAJA, SURI RUMAH JIMAT BELANJA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER LIMAU 10 September – Jangan terus anggap sisa makanan dari dapur sebagai sampah kerana bahan berkenaan sebenarnya boleh ditukar menjadi baja kompos untuk menyuburkan tanaman di sekitar kediaman.

Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Adam Lim Kian Chai berkata, teknik menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan wajar diperluaskan kepada golongan suri rumah kerana kaedah itu boleh dilakukan sendiri dengan memanfaatkan bahan yang terdapat di sekeliling mereka.

Katanya, pendekatan berkenaan bukan bertujuan menggalakkan masyarakat menghasilkan baja organik secara komersial, sebaliknya memberi pengetahuan dan kemahiran kepada mereka untuk mengurus sisa dapur dengan lebih bermanfaat bagi kegunaan sendiri.

“Ini penting bukan saja khas untuk petani, tetapi juga suri rumah. Mereka perlu tahu sisa makanan tidak semestinya dibuang ke dalam tong sampah kerana ia boleh dijadikan baja kompos.

“Baja yang dihasilkan itu boleh digunakan untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan di sekitar rumah atau kebun,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Kursus Tanaman dan Pembuatan Baja Organik sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, di sini, pada Rabu.

Menurut Adam, Jabatan Pertanian sentiasa menggalakkan masyarakat memanfaatkan sumber yang terdapat di persekitaran, termasuk sisa makanan, sebagai alternatif yang lebih berfaedah selain mengurangkan bahan buangan.

“Daripada kita buang sisa makanan, kita boleh tukarkannya menjadi baja kompos untuk faedah tanaman.

“Sekurang-kurangnya kita dapat memanfaatkan sisa yang ada dan menggunakannya untuk sayuran serta buah-buahan yang ditanam sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

681
Kongsi :
Previous post ‘TERIMA KASIH TOK HAMEED SENTIASA BANTU RAKYAT’