
WRUR: BAKI 90 PERMOHONAN PTK KAMPUNG BERINGIN SELESAI DALAM MASA TERDEKAT
DURIAN TUNGGAL 4 November – Baki 90 lagi permohonan tanah rizab di Kampung Beringin dijangka menerima Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil, berkata jumlah itu merupakan baki pemohon yang masih belum menerima kelulusan berikutan terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan.
Katanya, setakat ini hampir semua permohonan PTK melibatkan Parit Melana, Pantai Belimbing, Panchor dan Belimbing Dalam sudah diselesaikan.
“Kampung Beringin adalah yang terakhir kita sedang diselesaikan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal. Kita menunggu sedikit masa lagi bagi proses semua peringkat sebelum diserahkan kepada penerima.
“Kita jangkakan semua baki permohonan ini dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun hadapan. Antara cabaran dihadapi apabila terdapat isu bayaran dan kemampuan pemohon, namun Kerajaan Negeri sentiasa memberi ruang dengan menawarkan skim bayaran ansuran enam bulan bagi memudahkan rakyat menyelesaikan komitmen terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Perasmian Projek Persimpangan Bulatan Pantai Belimbing dan Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Durian Tunggal yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir. Mohamad Salzeli Moktar; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Zahari berkata dasar Kerajaan Negeri tegas yang mana pemilik yang sudah mendirikan rumah atas tanah yang dipohon perlu membayar nilai berganda kerana telah dimajukan tanpa kelulusan awal.
“Kerajaan Negeri sudah selesaikan hampir semua isu tanah di DUN Durian Tunggal, cuma tinggal sedikit kes tertunda disebabkan isu bayaran.
“Kita yakin perkara ini akan selesai tidak lama lagi, dan kepada pemohon diharapkan dapat bersabar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


