
WRUR BAWA IMPAK BESAR KEPADA 50,000 WARGA BUKIT KATIL
BUKIT KATIL 20 Disember – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil memberi impak besar dan manfaat kepada hampir 50,000 penduduk setempat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan penyelesaian isu rakyat secara langsung di lapangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil Adly Zahari berkata, penyertaan warga Bukit Katil dalam setiap program yang dianjurkan amat memberangsangkan dan mencerminkan sokongan padu masyarakat setempat terhadap kepimpinan serta pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas ilham pelaksanaan program ini yang bukan sahaja menyantuni rakyat, malah turut menyelesaikan isu-isu berbangkit serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat negeri Melaka, khususnya di DUN Bukit Katil.
“Kami akan terus melaksanakan tanggungjawab di peringkat DUN menerusi mesyuarat bulanan dan pemantauan berterusan bagi memastikan kesejahteraan warga Bukit Katil sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Penutupan Program WRUR DUN Bukit Katil yang disempurnakan Ketua Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Sepanjang dua minggu WRUR Bukit Katil berlangsung, lebih 200 aduan diterima dengan sebahagiannya berjaya diselesaikan, manakala baki aduan lain masih dalam proses tindakan termasuk isu melibatkan pembaikan jalan kampung dan keperluan penilaian teknikal.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


