
WRUR BERI ILMU DIGITAL PERCUMA UNTUK RAKYAT
REMBIA 9 Ogos – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bukan sahaja menjadi platform untuk rakyat menyalurkan aduan dan permasalahan dengan lebih mudah, bahkan turut menyedia pelbagai program bermanfaat untuk masyarakat.
Antaranya, penganjuran Digital Creater Masterclass anjuran Melaka Hari Ini Sdn Bhd bersama Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) yang memberikan ilmu digital berguna kepada masyarakat seperti penghasilan video, komunikasi berkesan depan kamera, asas fotografi dan reka grafik.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, istimewanya program tersebut diberikan secara percuma kepada masyarakat, sekali gus menjadi manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyediakan pelbagai platform untuk rakyat negeri ini terus berkembang.
“Untuk makluman, jika di luar, seorang perlu membayar RM300 hingga RM500 untuk menyertai kelas digital seperti ini, tetapi bersempena WRUR, Kerajaan Negeri memberikannya secara percuma.
“Ilmu-ilmu ini amat penting dalam dunia digital masa kini di mana ia dapat membantu masyarakat mencipta kandungan bermanfaat sama ada untuk perniagaan, pembelajaran dan lain-lain.
“Cuma saya minta, janganlah menggunakan ilmu yang ada untuk membuat kandungan bukan-bukan dan tidak berfaedah. Ilmu ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk diri sendiri dan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Digital Creator Masterclass Bersempena WRUR DUN Rembia di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Kelemak Jaya, di sini, hari ini.
Terdahulu, program tersebut disertai seramai 32 peserta dengan membabitkan empat pengisian segmen iaitu Komunikasi Berkesan Depan Kamera, Penghasilan Video, Reka Grafik dan Asas Fotografi.
Kesemua segmen itu dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman dari Melaka Hari Ini iaitu Faris Haikal Zakaria, Aufa ‘Izzati, Akmal Norli dan Iqmal Haqim Rosman.
Menariknya, pada Digital Creator Masterclass Edisi WRUR Rembia ini, ia turut disertai murid dan pelajar, di samping warga emas yang turut mahu mempelajari ilmu baharu berkaitan dunia digital.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.