Sorting by

×

WRUR: BINA BONGGOL DEPAN SEKOLAH TINGKATKAN ASPEK KESELAMATAN MURID, PELAJAR

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

DURIAN TUNGGAL 3 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil menggesa agar bonggol dibina di hadapan setiap sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bagi meningkatkan aspek keselamatan murid dan pelajar.

Menurutnya, langkah itu perlu dipertimbangkan segera berikutan beberapa sekolah di DUN berkenaan termasuk dalam jaringan laluan utama yang turut melibatkan kenderaan berat.

“Sebagai contoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Melana, terletak betul-betul di selekoh jalan, meningkatkan lagi risiko apabila lori dari kuari juga menggunakan laluan ini.

“Susulan dakwaan kenderaan berat itu dipandu laju, kita sudah pasang lampu kuning dan buat garisan tebal, tetapi masih tidak diendahkan oleh pemandu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Sesi Town Hall Exco Angkat Kampung Pantai Belimbing dan Parit Melana di Balai Raya Kampung Beringin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mtyheen Kunju Basheer serta wakil agensi berkaitan.

Zahari yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, keadaan sama turut berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, apabila kenderaan yang menuruni bukit dipandu laju meskipun melalui kawasan sekolah.

“Lori kuari menjadikan jalan sekitar DUN Durian Tunggal ini sebagai laluan utama mereka. Jadi saya minta Jabatan Kerja Raya (JKR) meneliti semula perkara ini supaya bonggol dapat dibina di setiap sekolah, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Malah beliau turut menegaskan pembinaan bonggol itu bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi juga sebagai cara mendidik pemandu agar lebih berdisiplin ketika melalui kawasan sekolah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

535
Kongsi :
Previous post WRUR: ISU INFRASTRUKTUR, LALU LINTAS FOKUS UTAMA ‘TOWN HALL’ DURIAN TUNGGAL
Next post KURSUS KAHWIN PERCUMA: RINGANKAN BEBAN ANAK MUDA KE ALAM RUMAH TANGGA