Sorting by

×

WRUR BUKIT KATIL LABUH TIRAI, 255 SUARA RAKYAT DIDENGARI

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BUKIT KATIL 20 Disember – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang berlangsung selama 14 hari bermula dari 7 Disember lepas melabuhkan tirainya hari ini dengan sebanyak 255 aduan penduduk setempat diterima.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 66 aduan telah berjaya diselesaikan manakala baki 189 aduan lagi sedang dalam tindakan segera oleh jabatan serta agensi berkaitan.

“Namun, yang lebih penting daripada angka-angka ini ialah kisah di sebalik setiap aduan itu sendiri. Di sebalik setiap laporan, ada wajah rakyat, ada keresahan yang dipendam, dan ada harapan yang disandarkan kepada kerajaan.

“Penutup ini bukan sekadar menandakan berakhirnya satu program, sebaliknya melambangkan kesungguhan, keikhlasan dan kebersamaan kita dalam memastikan suara rakyat benar-benar didengar dan akan terus disantuni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program WRUR DUN Bukit Katil di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil, Adly Zahari.

Ab Rauf turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan ribuan terima kasih buat seluruh warga DUN Bukit Katil atas sambutan baik terhadap semua 92 program yang dilaksanakan sepanjang WRUR berlangsung.

Secara keseluruhan, bagi 10 siri Program WRUR di seluruh negeri, sebanyak 2,245 aduan diterima dengan 1,704 daripadanya atau 76 peratus telah berjaya diselesaikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

321
Kongsi :
Previous post RAIKAN KRISMAS SECARA BIJAK, HORMATI GARIS PANDUAN HALAL – AB RAUF
Next post WRUR BAWA IMPAK BESAR KEPADA 50,000 WARGA BUKIT KATIL