Sorting by

×

WRUR DUN LENDU: KEBAJIKAN PENDUDUK JADI KEUTAMAAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

LENDU 31 Mei – Golongan memerlukan dan pekebun kecil terus diberi perhatian menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu bagi membolehkan bantuan bersasar disalurkan terus kepada mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, WRUR merupakan platform terbaik untuk turun padang dan memahami keperluan sebenar rakyat, terutama dalam aspek kebajikan dan pembangunan masyarakat.

“Menerusi WRUR DUN Lendu, seramai 265 pekebun kecil telah menerima manfaat melalui program pembangunan getah di bawah kendalian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Inisiatif ini memberi impak besar kepada komuniti luar bandar dalam meningkatkan hasil pertanian dan menstabilkan pendapatan mereka.

“Dalam masa sama, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) turut melaksanakan Program Melaka Rumahku dengan membaik pulih dua buah rumah yang didiami keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian penutup WRUR DUN Lendu di Kompleks Japerun Lendu di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan,barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurut Ab Rauf usaha kebajikan pula diteruskan melalui Program Ziarah Santuni Kasih melibatkan 24 buah rumah merangkumi warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga berpendapatan rendah.

“Bukan itu sahaja, seramai 100 orang asnaf turut menerima Kit Keperluan Asas menerusi program tanggungjawab sosial (CSR) Perbadanan Melaka (MCORP) dengan kerjasama Perbadanan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ).

“Ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan mendekati rakyat secara langsung telah membuahkan hasil yang memberi impak nyata,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post WRUR DUN LENDU : ISU BANJIR SEGERA DITANGANI
Next post 848 PREMIS KAMPUNG DUN LENDU LENGKAP ALAMAT DIGITAL