
WRUR: ISU INFRASTRUKTUR, LALU LINTAS FOKUS UTAMA ‘TOWN HALL’ DURIAN TUNGGAL
DURIAN TUNGGAL 3 November – Isu berkaitan infrastruktur, kemudahan awam dan kawalan lalu lintas di kawasan sekolah menjadi fokus utama Sesi ‘Town Hall’ Exco Angkat Kampung Pantai Belimbing dan Parit Melana di Balai Raya Kampung Beringin, hari ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, sesi itu melibatkan 10 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal selain penyertaan wakil pelbagai agensi berkaitan.
“Alhamdulillah ‘town hall’ ini banyak perbincangan menjurus kepada isu jalan raya, kemudahan air serta kawalan lalu lintas di kawasan sekolah yang memerlukan perhatian segera.
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengkaji langkah-langkah perlu bagi menaik taraf infrastruktur jalan raya supaya masyarakat menyedari kawasan sekolah sebenarnya zon selamat untuk anak-anak pergi dan balik dari sekolah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil serta wakil agensi berkaitan.
Tambahnya lagi, isu bekalan air turut dibincangkan memandangkan sebahagian paip sedia ada sudah uzur dan sering menyebabkan gangguan bekalan di kawasan tertentu.
“Pihak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sedang meneliti perkara ini dan kita faham ia melibatkan kos yang tinggi, namun kita akan cuba lakukan penambahbaikan sedikit demi sedikit,” katanya.
Town hall berkenaan dihadiri pelbagai wakil agensi dari JKR, SAMB, Telekom Malaysia Bhd (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan lain-lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


