Sorting by

×

WRUR: KACAU DODOL KAMPUNG PANCHOR LUAR BIASA MERIAH

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

DURIAN TUNGGAL 5 November – Tradisi ‘Kacau Dodol Sekampung’ bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, terus menyemarakkan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk Kampung Panchor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil berkata, program memasak dua kawah dodol itu mendapat sambutan luar biasa dengan penglibatan aktif lebih 50 peserta melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk setempat.

“Tradisi Kacau Dodol Sekampung ini sudah menjadi kebiasaan penduduk Kampung Panchor dan kampung lain dalam DUN Durian Tunggal terutama setiap kali Ramadan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

“Program ini bukan sekadar suka-suka atau mahu memerahkan suasana WRUR tetapi menunjukkan semangat kerjasama dan tradisi rewang yang masih lagi menjadi amalan di DUN Durian Tunggal,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan gimik perasmian acara Tradisi Kacau Dodol Sekampung di Kampung Panchor, di sini, hari ini.

Program sama turut dihadiri Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Zahari yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, berkata pihaknya menggunakan 120 biji kelapa untuk memasak dua kawah dodol berkenaan yang turut dicampur bahan asas lain seperti gula, gula Melaka dan terpung pulut.

“Inisiatif ini amat bermanfaat dalam usaha berterusan saya untuk menyuburkan pemuafakatan dalam kalangan penduduk, dan apabila sudah masak dodol akan diagihkan kepada penduduk sekitar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

414
Kongsi :
Previous post WRUR: MPHTJ ARAHKAN PEMAJU ATASI SEGERA MENDAPAN TANAH
Next post WRUR: ‘RUMAH DIBAIK PULIH BAGAI SATU RAHMAT BESAR’