Sorting by

×

WRUR: KAMPUNG GANGSA BAKAL MILIKI MASJID BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

DURIAN TUNGGAL 7 November – Hasrat penduduk Kampung Gangsa memiliki masjid baharu bakal direalisasikan apabila Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan peruntukan khas bagi tujuan berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, permohonan peruntukan khas telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Melaka bagi pembinaan masjid berkenaan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga komited menanggung 20 peratus kos pembinaan masjid baharu itu manakala 10 peratus lagi menerusi tabung wakaf masjid.

“Perkara ini dibuat selepas mendengar sendiri hasrat ramai penduduk Kampung Gangsa yang mahu memiliki masjid baharu ketika program turun padang sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal baru-baru ini.

“Semoga Allah memberkati setiap sen dan amal jariah kita bersama,” katanya ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan WRUR DUN Durian Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan keperluan pembinaan masjid baharu di Kampung Gangsa mendapat perhatian Adun Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil.

Ia menjadi keperluan mendesak akibat peningkatan jumlah penduduk di kawasan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

779
Kongsi :
Previous post WRUR: LEBIH 70 PROJEK INFRASTRUKTUR DILAKSANAKAN DI DURIAN TUNGGAL
Next post EKSKAVASI KAPAL PURBA DI PULAU MELAKA MUNGKIN AMBIL MASA LEBIH 2 TAHUN