Sorting by

×

WRUR: KETUA MENTERI TITIP KATA SEMANGAT UNTUK ADIK NUR AIMI ZUHAIRAH

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

DURIAN TUNGGAL 6 November – Titipan kata semangat daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sedikit sebanyak menyuntik semangat buat adik Nur Aimi Zuhairah Muhamad Hafidz, 14, kini sedang berjuang melawan kanser darah.

Ketua Menteri meluangkan masa menziarahi Nur Aimi Zuhairah di rumah sewa keluarganya di Batu 11, Kampung Pulau, Durian Tunggal bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, di sini, hari ini.

“Saya doakan adik Nur Aimi Zuhairah kembali sihat seperti biasa, tabah dan bersemangat berdepan ujian daripada Allah SWT, keluarga juga beri sokongan,” kata Ketua Menteri.

Ziarah itu turut disertai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil.

Selain bertanya khabar, Ketua Menteri turut mendengar permohonan ibu dan bapa remaja berkenaan agar Kerajaan Negeri dapat membantu mengusahakan sebuah bilik khas untuk Nur Aimi Zuhairah yang bakal menjalani prosedur transplan darah sebagai antara ikhtiar untuk merawat kanser dihidapi.

Bilik berkenaan amat penting bagi membolehkan Nur Aimi Zuhairah, menjalani proses kuarantin dan pemulihan termasuk pemantauan daripada doktor dalam persekitaran benar-benar bersih.

Ia berikutan tahap antibodi pesakit kebiasaannya akan lemah selepas prosedur itu, sekali gus meningkatkan risiko diserang pelbagai masalah kesihatan, seterusnya menjejaskan proses pemulihan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

537
Kongsi :
Previous post MELAKA LAMBANG WARISAN KETERHUBUNGAN ASEAN
Next post TEKNOLOGI AI BAKAL UBAH LANDSKAP PENGHASILAN STATISTIK