Sorting by

×

WRUR: KLEBANG TERIMA ADUAN TERBANYAK, BUKTI INISIATIF TURUN PADANG KERAJAAN BERKESAN

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KLEBANG 17 Oktober – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) terbukti menjadi sebuah inisiatif penting dalam menyelami denyut nadi rakyat apabila keberadaannya di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin dirasai.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu terbukti apabila aduan yang diterima di penganjuran WRUR edisi kelapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang semakin menunjukkan kematangan dan bilangan aduan rakyat yang diterima semakin meningkat.

Jelas beliau, ia secara tidak langsung membuktikan inisiatif turun padang Kerajaan Negeri berupaya memberi impak yang cukup besar dalam menyantuni denyut nadi rakyat.

“Dalam Program Aduan Rakyat yang diadakan, WRUR DUN Klebang telah menerima aduan yang paling banyak, di mana antara aduan yang diterima adalah membabitkan hal ehwal tanah, kebajikan, pendidikan, infrastruktur dan pelbagai lagi.

“Kesemua permasalahan dan denyut nadi rakyat ini akan kita teliti, saring dan diproses untuk tindakan sewajarnya bagi membolehkan ia diselesai mengikut tempoh masa ditetapkan.

“Jadi, kita dapat melihat bagaimana rakyat menghargai inisiatif turun padang Kerajaan Negeri ini dalam menyantuni denyut nadi mereka di setiap kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Membina Jambatan Stulang Daeng-Pulau Gadong Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka Ir. Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, sepanjang dua minggu WRUR DUN Klebang, sebanyak 106 program telah disusun dan dianjurkan, di mana kesemuanya berkonsepkan sentuhan kepaea rakyat.

Penutup WRUR DUN Klebang akan diadakan pada Ahad ini bermula petang hingga malam bertempat di Dataran Klebang dengan pelbagai pengisian akan diadakan antaranya, sukan rakyat, pameran, Neon Walk, Jualan Rahmah dan pelbagai lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1517
Kongsi :
Previous post WRUR: JAMBATAN HUBUNG DUA KAMPUNG TERPISAH SIAP 2027
Next post POLIS NAFI KEJADIAN CULIK MURID SEKOLAH DI LIMBANG