
WRUR: LEBIH 40 PERATUS ADUAN SEPANJANG WRUR DUN DURIAN TUNGGAL DISELESAIKAN
DURIAN TUNGGAL 5 November – Lebih 40 peratus daripada keseluruhan aduan dikemukakan sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal telah berjaya diselesaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil, berkata baki 60 peratus aduan tersebut masih dalam tindakan dan memerlukan penelitian lanjut daripada jabatan serta agensi Kerajaan Negeri yang terlibat.
Katanya, pelbagai aduan membabitkan masyarakat di setiap kawasan dalam DUN Durian Tunggal diambil kira dan ada yang telah diselesaikan.
“Sebanyak 40 peratus aduan dikemukakan orang awam, masayarakat setempat dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) telah diselesaikan, manakala baki 60 peratus lagi sedang dalam tindakan.
“Proses penyelesaian baki aduan WRUR DUN Durian Tunggal memerlukan penelitian lanjut daripada jabatan-jabatan terlibat bagi menentukan keutamaan dan peruntukan bagi tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Masyarakat Di Hati Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Tahun 2025 di Kampung Panchor, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Datuk Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Zahari turut mengingatkan jabatan atau agensi berkaitan supaya memberi maklum balas mengenai aduan yang diajukan.
“Baki aduan belum diselesaikan kita akan rujuk semula dengan ketua jabatan atau agensi berkaitan. Kita usaha untuk selesaikan seberapa segera meskipun bukan dalam tempoh WRUR Durian Tunggal ini.
“Isu membabitkan penyelesaian jangka masa panjang pula kita akan angkat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diambil kira dalam bajet negeri tahun hadapan.
“Saya harap jabatan dan agensi berkaitan untuk memberikan maklum balas kepada semua pihak berkenaan status tindakan terhadap aduan yang dikemukakan pada WRUR DUN Durian Tunggal,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


