Sorting by

×

WRUR: MERCU TANDA IKONIK BAKAL HIASI BULATAN PANTAI BELIMBING

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

DURIAN TUNGGAL 4 November – Satu mercu tanda ikonik dan susunan landskap menarik bakal menghiasi bulatan baharu Pantai Belimbing dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil, berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bertujuan menceriakan bulatan berkenaan.

Zahari yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, berkata antara yang dicadangkan adalah mercu tanda berbentuk buah belimbing.

“Kita terima semua cadangan, namun konsepnya masih pada peringkat perbincangan dan belum ada kata putus lagi.

“Tetapi keceriaan dengan penambahan landskap dan pencahayaan akan dilaksanakan bulatan baharu ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Projek Persimpangan Bulatan Pantai Belimbing dan Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir. Mohamad Salzeli Moktar; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut Zahari, berkata pelaksanaan bulatan baharu itu memberi impak positif kepada pengguna jalan raya yang kini menikmati pemanduan lebih lancar berbanding sebelum ini terutama pada waktu puncak.

Jelasnya, projek bulatan menelan kos RM2.6 juta itu memendekkan dan menjimatkan masa perjalanan kepada pengguna jalan raya.

“Kejayaan projek ini turut disokong pembinaan tiga komponen utama iaitu Bulatan Pantai Belimbing, Bulatan Durian Tunggal dan lampu isyarat baharu di Persimpangan Padang Keladi ke Ayer Keroh yang menjadikan aliran trafik lebih lancar serta tersusun.

“Kita bersyukur projek ini benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat, ramai dalam kalangan masyarakat yang menzahirkan ucapan terima kasih kerana laluan lebih selamat dan cepat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

796
Kongsi :
Previous post WRUR: 163 PERMOHONAN TANAH KERAJAAN DILULUSKAN DI DAERAH ALOR GAJAH
Next post WRUR: KETUA MENTERI KOTAKAN JANJI, IMAM MD YUSOF TERIMA KERUSI RODA ELEKTRIK BAHARU